Wednesday, March 14, 2018

Travel cara Agro ke Utara



Malaysia Tourism Council telah menjemput saya mewakili Malaysian Backpackers Club untuk menyertai konvoi ke utara semenanjung Malaysia selama 6 hari 5 malam di bawah program Road to Agro Tourism siri ke 4 (RTAT4). Tujuan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada umum tentang sektor pelancongan agro yang ada di Malaysia.
Sejujurnya kalau kita tanya rata-rata rakyat Malaysia sendiri, pasti tak ramai yang tahu apa yang menariknya Agro Tourism ni.

Haa, ni saya nak cerita. Tapi untuk membuatkan anda semua lagi teruja dengan pelancongan Agro saya akan ceritakan dalam bentuk point perkara-perkara menarik yang boleh anda cuba untuk travel gaya Agro ke 3 kawasan besar di Utara semenanjung Malaysia. Apa yang best agro tourism di utara? Mai kita belajaq sat naaa:


Khamis, 22 Feb - Majlis perasmian RTAT4 di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur oleh Timbalan Ketua Pengarah LPP sendiri Pn Azulita Salim, bersama Presiden Majlis Pelancongan Malaysia En.Uzaidi. Semboyan Flag Off dibunyikan sebagai simbolik keberangkatan konvoi kami ke utara.



Mainland Kedah

Sebaik tiba di utara kami disambut oleh team Muda Agricultural Development Authority (MADA) yang merupakan tuan rumah yangm engelola sebahagian besar aktiviti di utara ni. Mereka terus membawa kami  ke destinasi pertama iaitu Yan, Kedah Darul Aman. Di Yan, kami singgah di Ladang Nipah Ismail Che Kar yang juga dibawah bimbingan MADA.

1) Ladang Nipah Ismail Che Kar



Siapa sangka Nipah sebenarnya kaya dengan pelbagai hasil tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan pokok kelapa, dari daun,dahan hinggalah ke buah terdapat pelbagai kegunaan . Ladang ini pernah viral suatu ketika dulu sebagai port untuk beriadah yang sempoi. Sehingga kini, ladang ini masih lagi menjadi tumpuan warga tempatan untuk menikmati kesegaran air Nira, jelly, Laksa Utara dan Bihun Kuah Laksa. Bayangkan lepak di tepi bendang berbumbungkan dedaun nipah sambil menyantap laksa utara yang masih hangat ditemani air nira dingin. Refreshing!



2) Berbendang di Kompleks Latihan MADA

Selesai di ladang Nira, kami check in di Kompleks Latihan MADA. Tak ramai yang tahu sebenarnya wujud Kompleks Latihan Padi, di mana tempat ni ditubuhkan khas untuk orang yang nak training tanam padi terutamanya kepada golongan muda. Kalau nak dapatkan sijil kemahiran pertanian kat sini pun boleh. Free je! asalkan umur 18-25 tahun boleh join program latihan ni. Disebabkan kami ni pelawat, kami diberi peluang untuk rasai sendiri pengalaman menanam padi dan menangkap ikan di bendang. Sememangnya pengalaman yang tak akan saya lupakan!

Menangkap ikan haruan menggunakan bubu | credit foto : Arul Edham (Utusan Malaysia)

Menanam padi, saya mendapat hadiah hamper sebagai naib johan menanam padi terpantas


3) Mengenali Klon Mangga Chokanan di Ladang Tobiar

Mangga memang sinonim dengan bahagian utara, jadi tak sah kalau tak singgah di ladang Mangga. Ladang milik MADA ini dipanggil Tobiar Gold, satu jenama mangga yang lebih fokus kepada mangga Chokanan. Berbeza dengan harumanis, Chokanan lebih mudah dijaga dan harganya lebih murah, harga pasaran kini sekitar RM10 sekilo berbanding harumanis RM40 sekilo. Selain menjual mangga dalam bentuk buah pelbagai gred. Jenama ini turut menghasilkan produk berasaskan mangga dalam bentuk, jus, jem, chips dan pelbagai lagi. Ladang yang seluas 40 hektar ini menyimpan lebih 18 ribu pokok dari varieti Chokanan, dan ketika kami melawat ni mereka baru sahaja menanam beberapa pokok baru dari varieti Harumanis. Semua orang boleh datang ke sini untuk rasa sendiri pengalaman makan buah mangga fresh dari ladang. Tram disediakan untuk tujuan meronda sekitar ladang, selain menara tinjau untuk menikmati keindahan dan ketenangan suasana ladang yang menghijau. Saya tidak lepaskan peluang untuk belajar proses mengkahwinkan pucuk benih mangga berkualiti dengan anak pokok untuk ditanam.










4) Melawat Muzeum & Galeri

Terdapat pelbagai galeri dan muzeum yang boleh kita lawati antaranya Galeri Sultan Abdul Halim yang mempamerkan potret, dan barangan-barangan peribadi almarhum sultan dan keluarga baginda beserta sejarahnya. Bersebelahan dengan galeri pula terdapat sebuah menara yang dipanggil sebagai Menara Balai Nobat. Nobat ialah istiadat muzik diraja yang diamalkan sejak ratusan tahun dahulu. Menara ini dikunci dan hanya orang tertentu sahaja seperti kerabat Raja dan salahsilah Pemain Nobat
sahaja dibenarkan masuk namun saya bertuah kerana diberi peluang untuk naik sampai ke puncak menara untuk melihat sendiri peralatan Nobat dan berjumpa terus dengan pemain Nobat untuk mendapatkan maklumat tentang istiadat ini. Fakta menarik tentang nobat, sejak dari generasi pertama pemain Nobat, tradisi itu berjaya mengekalkan hanya darah daging pemain sahaja dibenarkan jadi pewaris pemain nobat sehingga kini. Selain itu kami juga berpeluang melawat muzeum padi yang menyimpan lukisan bernilai RM12 juta. Lukisan sebesar dinding dengan keliling 360 darjah hasil lukisan kumpulan artist dari Korea Utara. Lukisan ini merupakan lukisan 360 darjah terbesar di Asia Tenggara, memerlukan 60 orang pelukis yang mengambil masa selama 6 bulan untuk disiapkan dan selama setahun untuk kajian sebelum mereka mula melukis. Selain dari lukisan, Muzeum ni juga dipenuhi dengan informasi dan demonstrasi lengkap tentang proses padi dihasilkan dari benih sehinggalah hasil padi seperti beras. Bukan sahaja replika dan jentera yang digunakan dipamerkan, terdapat juga penerangan interaktif berbentuk video serta galeri jualan cenderamata.

Galeri Sultan Abdul Halim yang sebelumnya merupakan pejabat kehakiman. Masuk Percuma
Lukisan 360 darjah di Muzium Padi


5) Menara Alor Setar

Selalu digelar sebagai adik Menara Kuala Lumpur sebenarnya Menara Alor Setar menggunakan teknologi boleh rasa oleh pengunjung yang lebih canggih dari Menara KL. Tipikal menara menggunakan teropong untuk meninjau sekitar, namun menara Alor Setar bukan sahaja ada teropong tetapi juga kamera LIVE berdefinisi tinggi. Selain itu juga, pengunjung juga boleh merasai teknologi Virtual Reality yang pastinya mengujakan. Ditingkat skydeck pula terdapat cafe terapung dengan teknology rotating platform, jadi sambil makan sambil kita dibawa berpusing meninjau sekitar Alor Setar. Unikkan? 

Credit foto: wikimedia
Persembahan silat di perkarangan Menara ALor Setar


6) Mencandat Sotong

Sekiranya anda berjalan di persisiran pantai Cenang, Langkawi pada waktu malam pastinya akan terlihat susunan lampu hijau yang cantik di atas permukaan laut. Sebenarnya lampu-lampu itu datang dari bot-bot nelayan yang sedang melakukan aktiviti candat sotong. Antara lokasi candat yang terkemuka di Kedah ialah di Tukun Pak Timpok, untuk ke sana kita hendaklah ke sempadan Kedah dan Perlis, yang terletak di Kg Sanglang. 




Langkawi 

Salah satu destinasi paling popular di Malaysia, diiktiraf oleh UNESCO sebagai Global Geopark yang merupakan gugusan pulau terbesar di Malaysia yang merangkumi 99 pulau. Kaya dengan mitos seperti Mahsuri, Tasik Dayang Bunting, Telaga Tujuh dan sebagainya. Sebelum ni kita ke Langkawi tak habis-habis Island hopping kan? Sekarang ni saya nak share antara benda best lain yang boleh korang buat kat Langkawi selain dari Island hopping.


1) MARDI Agro-Technology Park

Di sini kita dibawa untuk meneroka taman agro selama 30 minit yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman buah-buahan tempatan dan pusat penternakan binatang seperti kambing dan ikan. Yang bestnya di setiap pit stop kita akan dihiburkan dengan pelbagai gimik yang lucu malah berpeluang memetik sendiri buah yang sedang bermusim untuk kita makan terus. Bukan itu sahaja, kita turut disajikan dengan fruits buffet, yang mana kita boleh makan apa-apa sahaja buah yang terhidang sampai puas. Tiket masuk RM10 untuk dewasa tempatan, RM5 untuk kanak-kanak tempatan. RM30 (USD6) untuk pelancong dewasa, RM15 (USD3) untuk pelamncong kanak-kanak.





2) Laman Padi
Siapa sangka di tengah-tengah pulau ada tempat unik seperti ini. Seperti namanya di sini kita berpeluang utnuk merasai suasana laman padi yang sebenar. Seluas 14.28 ekar, reka bentuk laman yang menyerupai bendang sebenar siap ada kerbau hidup berkubang dan orang-orang di tengah laman. Pemandu pelancong juga disediakan untuk membawa kita berjalan sekitar laman sambil memberikan penerangan lebih lanjut tentang proses penanaman dan jenis-jenis padi. Malah, boleh merasai sendiri bagaimana cara untuk menanam padi dengan betul.




3) Kompleks Kraf
Satu kerugian jika datang ke Langkawi tapi tidak berkunjung ke Kompleks Kraf, sebaik sahaja sampai ke kompleks kita akan melihat ratusan bahkan ribuan produk kraf tangan tempatan beserta dengan aktiviti menarik yang pastinya menghiburkan pengunjung yang datang. Antaranya, kita berpeluang untuk belajar menyumpit, mengimbang keris, bermain congkak, dan bermacam lagi.
Bukan sahaja pameran kraf tetapi juga terdapat muzium warisan yang menyimpan pelbagai sejarah menarik tentang budaya kita seperti sejarah ukiran kayu, wayang kulit, padi dan lain-lain. Tetapi antara faktor utama ramai pengunjung datang ke Kompleks ini adalah untuk melihat pertunjukan penghasilan Kristal yang pastinya memukau sesiapa yang memandang.







4) Naik Private Yatch ronda Langkawi

Tak semua orang selesa untuk island hopping dengan menaiki speed boat. Jangan risau, dengan harga mampu milik, kita ramai-ramai boleh sewa 1 private cruise dri Sea Splash Langkawi. Kemudian kita boleh buat pelbagai aktiviti air seperti diving, snorkelling, memancing. dan bermacam lagi aktiviti air. Bagi yang inginkan aktiviti santai meronda sekitar pulau selama 3 jam pun boleh seperti yang kami lakukan. Chillax habis!








Perlis

Negeri terkecil Malaysia yang digelar indera Kayangan ini juga ada pelbagai keunikan tersendiri, kini sedang menempa nama di persada dunia dengan keenakan variety mangga yang dipanggil Harumanis. 4 destinasi menarik di Perlis yang tak ramai orang tahu

Rimba Herba

Sudah beroperasi selama 20 tahun taman herba yang terletak bersebelahan Hutan Lipur Bukit Ayer. Taman yang seluas 12 hektar lebih 1200 tanaman herba dan 600 spesis tanaman herba yang digunakan atas pelbagai tujuan seperti makanan dan ubat-ubatan. Kini Taman Herba digelar Muzium Etnobotani.

credit foto : homestay-perlis.com


Taman Ular

Taman Ular terletak bersebelahan Taman Herba merupakan satu-satunya taman ular di Malaysia. Menyimpan 150 ekor ular dari 34 spesis yang terbahagi kepada jenis ular di dalam ruangan tertutup dan yang terbuka. Membuatkan pengunjung berpeluang untuk mendekati haiwan eksotik ini lebih dekat.




Kelab Golf Putra

Satu-satunya kelab golf di Perlis yang menawarkan course 18 lubang, berkeluasan 6385 yards, dengan jumlah pukulan 72 Par per course. Kelab ini dikelola oleh presidennya yang merupakan Raja Muda Perlis DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Aktif menganjurkan pertandingan dan aktiviti amal, kelab golf ini juga terkenal dengan halangan-halangan yang mencabar untuk penggemar sukan Golf. Pemandangannya yang memukau berlatarbelakangkan bukit batu kapur yang indah juga merupakan salah satu tarikan utama orang berkunjung ke Kelab Golf Putra.



Ladang Harumanis

Seperti yang semua sedia maklum, Perlis sinonim dengan Mangga Variety Harumanis. Jadi kami berpeluang untuk berkunjung ke ladang harum manis yang menggunakan konsep rumah hijau. Ini bertujuan untuk memastikan buah mangga dapat dihasilkan sepanjang tahun walaupun pada waktu bukan musim. Harga pasaran ketika ini ialah sekitar RM40 per Kilo.



Sebenarnya terdapat banyak lagi aktiviti dan destinasi menarik yang boleh kita alami sendiri bila berkunjung ke utara. Malangnya kekangan masa yang tidak mengizinkan. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur program Road to Agro Tourism siri-4 ke Utara, Malaysia Tourism Council (MTC) beserta kerjasama dari pihak TOURISM KEDAH, MADA, LADA, MARDI, HOLIDAY INN VILLA, D'LIMA BEACH INN, AKIEF VILLA, SANDY BEACH, LPP PERLIS, TAMTEH KAMPUNG STAY, PPK PAYA, TELAGA WALK.






No comments:

Currently Viewing

Followers

Instagram

Compilation video about us:

Facebook



Total Pageviews